Kedatangan 10 Muharam sering ditunggu-tunggu oleh penganut Syiah. Mereka seringkali mengaitkannya dengan semangat Asyura dan Karbala. Sehinggakan sesetengah penganut Syiah mengambil kesempatan menjadikan 10 Muharam sebagai hari memerangi Zionis.
Apakah umat Islam perlu disyiahkan terlebih dahulu agar Zionis mampu ditumbangkan?
Menyeru umat Islam di sebuah negara berpegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) supaya meniru sambutan Asyura dengan mengingati peristiwa Karbala seperti di Iran, Iraq dan Pakistan adalah sesuatu yang biadap.
Sesetengah penganut Syiah cuba beralasan dengan mengiaskan sambutan tersebut tiada bezanya dengan sambutan Maal Hijrah yang juga tiada dalilnya menurut al-Quran dan al-sunnah.
Kiasan palsu yang direka-reka ini langsung tidak mengenai ‘illah (alasan) antara dua sambutan tersebut. Bukankah sambutan Maal Hijrah adalah sambutan memperingati perjuangan Rasulullah SAW dan umat Islam dalam melakukan hijrah dari Mekah ke Madinah al-Munawwarah.
Tiada sesiapa pun di kalangan umat Islam tanpa mengira apa jua ideologi dan mazhab yang mengingkari fakta sejarah ini. Justeru, apa pula‘illah sambutan mengingati peristiwa Karbala diadakan?
Perjuangan apakah sebenarnya yang mahu dibangkitkan melalui peristiwa tersebut? Atau ia hanya satu bentuk penyesalan dan keinsafan yang kononnya mahu ditonjolkan oleh satu pihak terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh tangan mereka sendiri!
Bidaah Asyura tajaan Syiah
Mengaitkan hari Asyura iaitu 10 Muharam sebagai hari memperingati peristiwa Karbala adalah amat menyalahi konsep kesyukuran yang dinyatakan oleh Nabi SAW pada hari tersebut.
Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh hadis Rasulullah SAW yang sahih: Rasulullah SAW tiba di Madinah, lalu beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura (tanggal 10 Muharam), maka beliau bertanya: “Hari apakah ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuhnya, maka Musa a.s berpuasa pada hari itu kerana syukur kepada Allah. Dan kami berpuasa pada hari itu untuk mengagungkannya”. Nabi SAW bersabda: “Aku lebih berhak atas Musa daripada kalian”, maka Nabi berpuasa Asyura dan memerintahkan puasanya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun apabila syahidnya Saidina Husin r.a di bumi Karbala pada 10 Muharam tahun 61 hijrah, tercetuslah satu bidaah yang menyesatkan. Asyura mula dijadikan oleh Syiah sebagai hari berkabung, duka cita, dan menyiksa diri sebagai ungkapan daripada kesedihan dan penyesalan.
Pada setiap kali Asyura, mereka memperingati kematian Saidina Husin dengan melakukan perbuatan-perbuatan tercela seperti berkumpul sambil menangis dan meratapi bagaikan histeria.
Mereka juga mengadakan perarakan di jalan-jalan dan pasar-pasar sambil memukul tubuh dengan rantai besi, melukai kepala dengan pedang, mengikat tangan dan sebagainya. (Al-Tasyayyu’ Wasy-Syi’ah, Ahmad al-Kisrawiy al-Syi’iy, hal. 141, Tahqiq Dr. Nasyir al-Qifari).
Persoalannya mengapakah Syiah tergamak melakukan perbuatan sehingga ke tahap yang sedemikian rupa? Apakah pendorong yang menyebabkan peristiwa Karbala menjadi sesuatu yang amat signifikan bagi puak Syiah?
Jawapannya mudah. Ini kerana Syiah sendiri adalah pencetus kepada peristiwa pembunuhan Saiyidina Husin di Karbala!
Sumber: Mohd Aizam Mas’od;epondok
No comments:
Post a Comment